Kita boleh sahaja menisbahkan segala pebuatan kita dari Allah Taala dalam hal musibah atau perlakuan maksiat kita atas alasan hakikat. Kita juga boleh sahaja menisbahkan segala pebuatan kita dari kehendak Allah Taala atas kesesatan kita dalam memahami intipati sesuatu ajaran atas alasan hakikat. Namun kita tidak berhak mempertikaikan keputusan Allah Taala berkenaan dimana kedudukan kita diakhirat kelak. Kenapa? bukankah ia hakikat !!!
Kenyataan - kenyataan diatas adalah satu tamparan bagi mereka yang gagal dan tewas dalam memahami cara beradab dengan Allah SWT. Memang benar, setiap perkara samada gerak atau diam mestilah di 'bin' kan kepada Allah Taala dalam melaksanakan tauhid namun terdapat batasan-batasan yang harus difahamai. Apakah batasannya?
Firman Allah Taala yang bermaksud "Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya" (6:91)
Inilah jawapannya. Kehambaan yang sempurna adalah kehambaan yang didirikan dengan penuh adab dihadrat Allah Taala. Tidak dinafikan bahawa setiap yang berlaku adalah dari Qudrat dan Iradat Allah Taala.Tiada satupun bersumber dari yang lain melainkan dari Allah Taala jua. Namun, sebagai hamba yang memahami erti kehambaan yang sejati serta mengetahui akan darjat ketuhanan yang dimiliki oleh Allah SWT, menisbahkan segala yang tercela dan buruk keatas diri sendiri adalah sesuatu yang terpuji disisi Allah SWT.
Nabi Muhammad SAW bersabda “ Allah telah mendidikku dalam adab dan menjadikan pendidikanku itu istimewa”. Langsung dari kenyataan inilah yang menjadi rahsia kenapa Nabi Muhammad SAW melaksanakan istighfar. Bukankah Baginda maksum? Lantas kenapa perlu kepada permohonan keampunan? Inilah praktik adab yang ditunjukkan oleh baginda dihadrat Allah. Apakah Baginda tidak memahami perkara atau hal yang dipanggil hakikat?
Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq berkata “ Seseorang hamba akan mencapai syurga dengan mematuhi Allah. Dia akan mencapai Allah dengan mempraktikkan adab dalam mematuhiNya”. Al-Jalajii Al-Bashri pula berpendapat “Menegaskan tauhid menuntut keimanan. Jadi orang yang tidak mempunyai iman tidak dapat menegaskan tauhid. Iman menuntut kepatuhan kepada syariat. Jadi orang yang tidak mematuhi syariat beerti tidak mempunyai iman, tidak pula dia menegaskan tauhid. Mematuhi syariat menuntut adab. Jadi orang yang tidak dapat mempraktikkan adab tidak dapat mematuhi syariat, memiliki iman ataupun menegaskan tauhid”. Nah , betapa seriusnya hal adab ini!!
Akhir kata, sahabatmu ini juga bukanlah seorang yang benar dan selari tingkahlakunyadengan pertuturannya. Semoga Allah Taala menolongi kita.Amin.


0 Komen:
Catat Ulasan