
Menyendiri atau khalwat adalah sifat-sifat orang yang suci dan ianya lambang dalam mendirikan tauhid agar kukuh dan tidak bisa goyah. Ini kerana dalam menjalani kehidupan didunia ini, jiwa sangat memerlukan kepada keazaman jitu yang tidak boleh digoncangkan oleh sebarang maksiat, musibah mahupun halangan. Jadi, untuk mendapatkan jiwa yang kental dalam mengharungi dunia ini, menyendiri adalah satu langkah permulaan yang bijak.
Rasulullah SAW pada peringkat awalnya iaitu sebelum baginda menjalankan dakwah samada secara rahsia mahupun terang-terangan, juga sebelum baginda mendapat wahyu dan diangkat menjadi rasul, baginda telah menjalani amalan menyendiri ini dengan mengasingkan diri di Jabal Nur didalam Gua Hira'. Setelah baginda sukses didalam dakwahnya juga, amalan ini masih baginda teruskan cuma baginda tidak lagi ke Gua Hira' tetapi hanyalah dibawah sebatang pokok.
Hal perlakuan ini turut diikuti oleh sahabat-sahabat Baginda SAW. Dalam riwayat Al-Tirmidzi, dikatakan bahawa Abdullah Bin Amir Al-Juhani RA pernah bertanya kepada baginda "Ya, Rasulullah! apakah yang melepaskan dari kejahatan itu?". Sabda Baginda SAW " Hendaklah meluasi akan dikau oleh rumahmu yakni diam engkau didalam rumahmu".
Dan daripada riwayat Saidina Umar RA puka " Ambillah oleh kamu bahagian kemenangan kamu daripada menjauhi manusia"
Amalan yang berkah ini juga turut tidak dilepaskan peluang oleh para-para tabien. Syaikh Abdul Wahab as-Sya'rani menceritakan di dalam kitab karangannya iaitu Thabaqatul Kubra bahawa Imam MalikRA menyendiri didalam rumahnya selama 25 tahun. Diceritakan juga oleh sesetengah Ulama' bahawa Imam Malik hanya keluar dari rumahnya untuk menghantar jenazah dan menziarahi orang yang sakit serta menyelesaikan hak - hak orang lain jika bersangkutan dengannya.

Imam Ghazali turut mengkomentar akan hal menyendiri ini didalam kitabnya Ihya Ulumuddin pada Bab menyatakan Uzlah. Beliau menjelaskan bahawa menyendiri daripada bercampur dengan manusia mendapat dua kelepasan iaitu lepas dari melihat orang yang buruk perangai dan lepas dari melihat orang yang kurang akalnya kerana yang demikian itu membutakan dan menggelapkan hati. Kenyataan Imam Ghazali ini disokong dengan kenyataan Fudhail Bin Iyadh. Beliau mengatakan "setengah daripada alamat kurang akal seseorang laki-laki itu iaitu memperbanyakkan akan berkenal-kenalan dengan orang"
Abu Utsman Al-Maghribi mengatakan " Adalah wajar bagi seseorang itu memutuskan diri dari kesertaan bersama sesamanya supaya bebas dari segala jenis peringatan kecuali pengingatan kepada Tuhan, terbebas dari semua hawa nafsu kecuali keinginan mencari keredhaan Tuhan."
Ditanyakan juga kepada Ibn Al-Mubarak " Apakah ubat bagi hati yang sakit? " Jawabnya " Berjumpalah manusia sejarang mungkin ".
Jadi dapatlah kita simpulkan bahawa untuk mencapai tahap kesempurnaan kesucian hati serta untuk memiliki jiwa yang kental dalam mengharungi dunia ini jalan terbaik adalah dengan menyendiri. Namun bukanlah menyendiri ini untuk selama-lamanya. Cara terbaik ialah dengan mendapat bimbingan dan tarbiyyah dari mereka yang ahli.
Wassalam


0 Komen:
Catat Ulasan