Jadual Pengajian di Madrasah Diniah Ahmadiah (Klik pada item untuk maklumat lanjut)

3.02.2009

Mencintai Ahlul Bait

Ramai yang terkeliru dengan fahaman keutamaan mencintai ahlul bait dengan mengaitkannya dengan aliran syiah. Pada dasarnya memang ianya mempunyai persamaan tetapi jika dihalusi dengan cermat terdapat perbezaan yang amat besar diantara fahaman ASWJ dan Syiah dalam mencintai ahlul bait. Al-faqir tidaklah bercadang untuk membahaskan berkenaan perbezaaan ini namun secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa kecintaan kaum syiah hanya bertumpu kepada Saidina Husin dan keturunannya yang tertentu sahaja(Imam 12) tetapi bagi penganut fahaman ASWJ yang sejati, kecintaan terhadap Ahlul Bait adalah kecintaan kepada Saidina Hasan dan Saidina Husin serta kecintaan kepada seluruh keturunan mereka.

Sebelum melanjutkan bicara, ingin al-faqir menyatakan bahawa al-faqir bukanlah orang yang layak membicarakan hal ini. Semoga Allah mengampuni al-faqir.

Tidak melampau rasanya jika al-faqir menyatakan disini bahawa kesempurnaan akhlak yang mulia ialah terdapat pada sisi hatinya kecintaan terhadap Ahlul Bait. Malah kecintaan terhadap Ahlul Bait Nabi SAW mestilah melebihi daripada kecintaan kepada ibu bapa, ahli keluarga dan keturunannya sendiri. Bahkan tidak seseorang itu memiliki kesempurnaan iman melainkan dengan mencintai mereka (Ahlul Bait). Hal ini terkandung didalam sabda Baginda SAW yang bermaksud “Belum sempurna iman seorang hamba Allah sebelum cintanya kepadaku melebihi cinta kepada dirinya sendiri; sebelum cintanya kepada keturunanku melebihi cinta kepada keturunannya sendiri; sebelum cintanya kepada ahli-baitku melebihi cinta kepada keluarganya sendiri; dan sebelum cinta nya kepada zatku melebihi cinta kepada zatnya sendiri.” (Riwayat at-Tabrani).

Seperti yang kita telah ketahui, Imam mazhab kita iaitu Imam Syafi'i RA dalam banyak syair beliau telah melahirkan rasa cinta dan kasih sayang beliau kepada Ahlul Bait. Antara syair beliau yang banyak itu, beliau pernah bermadah: "Wahai Ahlulbait Rasulullah ! Kecintaan kepadamu adalah kewajiban dari Allah, yang turun dalam al-Quran. Cukuplah bukti betapa tingginya kamu sekalian. Tiada sempurna sholat tanpa shalawat untuk anda sekalian." Mungkin tidak melampau juga al-faqir menyatakan bahawa syair ini juga fatwa dari beliau (Imam Syafi'i r.a).

Lihat pada baris "Kecintaan kepadamu adalah kewajiban dari Allah, yang turun dalam al-Quran. Cukuplah bukti betapa tingginya kamu sekalian." Bicara ini selaras dengan firman Allah Taala didalam al-Quran yang bermaksud "Sesungguhnya Allah hendak menghapuskan noda dan kotoran dari kamu sekalian, ahlul bait, dan mensucikan kamu sekalian dengan sesuci-sucinya." (al-Quran s.al-Ahzab:33). Malah terdapat kisah dimana Saidina Umar RA bertawasul dengan Saidina Abbas RA untuk memohon hujan. Kisah ini menzahirkan tentang kemulian dan kesucian Ahlul Bait yang mana mereka mendapat tempat disisi Allah Taala.

Pada baris berikutnya, Imam Syafi'i RA mengungkap "Tiada sempurna sholat tanpa shalawat untuk anda sekalian". Lihat kembali apa yang terkandung didalam rukun solat yang 13 itu, bukankah terdapat didalam yang wajib dikerjakan itu ialah membaca tasyahud. Dan lagi perhatikan sehingga manakah had wajib dibaca tasyahud itu. Maka bukankah tidak sempurna solat itu tanpa berselawat keatas mereka. Berkenaan hal ini juga terdapat sebuah hadis yang membahaskannya secara khusus. Hadis itu bermaksud “Janganlah kalian berselawat untukku dengan Selawat Batra". Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Selawat Batra?". Baginda menjawab: “Kalian mengucapkan: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad, lalu kalian berhenti di situ. Ucapkanlah: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga (ahlul-bait) Muhamad".

Aisyah RA meriwayatkan hadis yang bermaksud “Enam macam orang yang aku mengutuk kepada mereka dan Allah mengutuk juga padahal setiap Nabi itu diperkenankan permohonannya, iaitu orang yang menambah kitab Allah; orang yang mendustakan ketentuan Allah; orang yang mengalah kepada pemerintah sombong dan kejam lalu dengan itu dia memuliakan orang yang direndahkan Allah dan merendahkan orang yang dimuliakan Allah; orang yang menghalalkan larangan Allah; orang yang menghalalkan daripada keturunanku yang Allah haramkan; dan orang yang meninggalkan sunnahku.” (Hadis riwayat Tirmizi dan al-Hakim).

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA ini menerangkan bahawa mereka merendahkan orang yang dimuliakan Allah serta orang yang menghalalkan daripada keturunanku yang Allah haramkan adalah mereka yang mendapat kutukan Allah. Nauzubillah !!

Lagi firman Allah Taala yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah (imbalan) mengenai ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra dalam kekeluargaan.” (Surah Asy-Syura: 23). Al-Maqrizi telah memberi tafsiran ayat ini membawa maksud kepada “Aku tidak minta imbalan apa pun jua atas kalian atas agama yang aku bawakan kepada kalian itu, kecuali agar kalian berkasih sayang kepada keluargaku.” Fahamilah permintaan Baginda Rasulullah SAW ini. Tidaklah baginda merayu kepada kita agar mengasihi kepada keluarganya tetapi permintaan baginda ini adalah atas keselamatan kita dan atas perihatin baginda terhadap umatnya seperi yang baginda SAW pernah sabdakan “Bintang adalah keselamatan bagi penghuni langit, sedang ahlul baitku keselamatan bagi penghuni bumi". (Hadis riwayat at-Tabrani). Alhamdulillah !!

Fahamilah kewajipan ini. Setelah banyak warisan baginda dimusnahkan oleh pelampau-pelampau agama yang bertopengkan sunnah dan tajdid, maka apalagi yang tinggal yang boleh kita disandarkan atau jadikan kenangan kepada baginda. Inilah suis yang menghidupkan kecintaan kita terhadap rasulullah SAW.

Janganlah kita terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang kononnya mencintai Ahlul Bait itu syiah dan juga gerakan-gerakan yang bertopengkan sunnah walhal terselindung disebalik niat mereka itu adalah untuk memburuk-burukkan serta menghapuskan warisan dan tinggalan junjungan kita Rasulullah SAW. Perhatilah sabda baginda ini "Yang terbaik diantara kamu sekalian ialah yang terbaik perlakuaannya terhadap ahlul baitku, setelah aku kembali kehazirat Allah." (Hadis Sahih dari Abu Hurairah r.a. diriwayatkan oleh al-Hakim, Abu Ya'la, Abu Nu'aim dan Addailamiy) .


Dan sebagai penutupnya al-faqir dengan rendah diri mengajak pembaca memahami akan sabda baginda ini “Anak-anakku ialah wangi-wangian di dunia”.

Wassalam.

0 Komen:

Catat Ulasan